Make your own free website on Tripod.com

Mengenai Aurat

 

[NOTA: Email/artikel asal tak tau datang dari mana... tapi elok juga dibaca dan fikir-fikirkan. Kalau sesiapa ada artikel asal Majalah Al-Islam yang disebutkan tu, bolehlah utarakan di sini untuk buat perbandingan -- TOKMOD]

-------- Original Message -------- Subject: [amican] Re: Berhati-hati...
Date: Wed, 25 Feb 2004 02:18:44 -0000
From: Mohd Syuhaimi Kassim <matmi78@yahoo.com  
Reply-To: amican@yahoogroups.com
To: amican@yahoogroups.com

Kepada sesiapa yang ada terbaca email saya yang bertajuk "Berhati-
hati"....ini adalah penjelasan yang lebih detail kpd isu
tersebut...kepada yang berminat boleh baca...baik utk pengetahuan
kawan 2 bersama...dan tolong sebar-sebarkan...

Sorry laa panjang sikit tulisan ni...kalau rajin bacalah...tapi elok
la baca...tak pa...ambik masa...2-3 hari baca pun tak pa..asal jelas
sejelas-jelasnya

Saudara-saudari boleh merujuk kepada majalah AL-ISLAM edisi Februari
2004, artikel karangan Zainudin Idris yang bertajuk "Rambut Wanita
Bukan Aurat."

 

Jelas dari artikel tersebut, penulis cuba mencari dalil bagi
menghalalkan pendedahan aurat yang berleluasa dalam masyarakat kita
pada hari ini. Kepada mereka yang tidak mendalami agama dan tidak
dapat membuat rujukan kepada kitab-kitab Fiqh, mereka akan mudah
terpengaruh dengan dakyah-dakyah tersebut. Apatah lagi ianya
disiarkan oleh majalah yang membawa nama Al-Islam.

Sebenarnya artikel tersebut penuh dengan penyelewengan dan hujah-
hujah batil yang disengajakan untuk mengelirukan masyarakat Islam.
Hujjah-hujjah itulah juga yang dipakai oleh Astora Jabat dalam
beberapa penulisannya dalam ruangan Bicara Agama, Mingguan Malaysia.
Kesimpulan dari artikel itu, anggota yang wajib ditutup (aurat)
hanyalah dua kemaluan sahaja (qubul dan dubur) sama ada lelaki atau
perempuan. Ini bermakna kebanyakan manusia di dunia ini sudah menutup
aurat sekalipun dia bekerja sebagai penari separuh bogel.

Sebagai menunaikan tanggungjawab, di sini saya akan cuba menjelaskan
kepada saudara-saudari penyelewengan tersebut satu-persatu dan
bagaimana penulis secara sengaja telah menfitnah ulamak-ulamak
muktabar dengan mengambil dan memutar-belitkan kata-kata mereka
secara tidak amanah.

Pertama:

Pengarang artikel, Zainudin Idris yang cuba mengelirukan pembaca
dengan mendakwa yang wajib ditutup (aurat) hanyalah dua kemaluan
sahaja (qubul dan dubur) telah menukil dan menterjemah kata-kata al-
Dahlawi sebagai berikut:

Imam Waliyullah memberi takrif aurat di dalam kitab Hujjatullah al-
Balighah pada halaman 688, jilid 2; beliau berkata:

``Ketahuilah bahawa menutup aurat, saya maksudkan ialah anggota-
anggota yang mendatangkan keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan
khalayak ramai mengikut
adat umat yang sederhana hidupnya seperti yang terdapat pada bangsa
Quraisy pada masa itu, ia termasuk di dalam pokok (asas) tamadun yang
diakui di sisi setiap golongan yang dinamakan manusia, dan ia di
antara perkara yang membezakan manusia daripada sekalian pelbagai
jenis haiwan. Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat
tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/ belakang), dua
buah kemaluan, ari-ari dan bahagian anggota yang mengiringinya
termasuk pangkal kedua-dua paha dikira yang paling jelas dari segi
agama bahawa ia termasuk ke dalam bahagian aurat."

Komen:

Rujukan saya kepada kitab Hujjah Allah al-Balighah adalah edisi
terbitan Dar al-Ma'rifah, Beirut 1997, jld. 2, ms. 219-222. Sesiapa
yang memiliki edisi terbitan syarikat lain boleh rujuk nukilan di
atas dalam bab "Berkenaan Aurat" yang terletak dalam kitab "Bab-bab
yang berkenaan urusan dalam rumah."

Daripada penjelasan al-Dahlawi yang sepanjang 3 mukasurat, Zainudin
Idris hanya ambil satu perenggan yang letaknya di separuh kedua.
Agaknya apa kata al-Dahlawi
di separuh pertama?

Di sini saya tidak akan terjemah semuanya kerana ia amat panjang.
Akan tetapi saya hanya akan kemukakan poin-poin al-Dahlawi.

Syaikh al-Dahlawi rahimahullah memulakannya dengan menjelaskan bahawa
apabila seorang lelaki memandang aurat wanita, ia akan menimbulkan
syahwat yang
akhirnya membawa kepada perkara-perkara maksiat. Atas dasar ini maka
Islam menggariskan beberapa cara untuk menutup jalan-jalan yang akan
membawa kepada syahwat dan kemungkaran ini. Antara jalan-jalan
tersebut adalah:

[1] Tempat wanita adalah di rumah. Mereka hanya keluar apabila
terdapat keperluan yang mendesak. Dalilnya ialah firman Allah: "Dan
hendaklah kamu tetap diam di
rumah kamu" [al-Ahzab 33:33]

[2] Wanita memakai jilbab (tudung) dan tidak menampakkan perhiasannya
kecuali kepada suami dan mahramnya. Dalilnya ialah firman Allah dalam
surah al-Nur 24:31. Rukhsah (kelonggaran) diberikan kepada (1) wajah
sebagai bentuk pengenalan dan (2) tangan kerana ia banyak membuat
kerja. Selain itu rukhsah juga diberi kepada wanita tua yang sudah
tiada daya tarikan.

[3] Tidak boleh berdua-duan (khalwat).

[4] Tidak boleh memandang aurat sesama jantina. Lelaki tak boleh
pandang aurat lelaki, wanita tak boleh pandang aurat wanita.

[5] Tidak boleh sesama jantina tidur satu "pakaian", yakni tidur satu
selimut bersama-sama. Poin ke 4 & 5 ini untuk mengelakkan kemaksiatan
seperti gay & lesbian.

Demikian ringkasan daripada keterangan al-Dahlawi. Jelas daripada
keterangannya bahawa aurat wanita bukanlah kemaluan depan belakang
sahaja tetapi semua
kecuali muka dan tangan. Ini adalah sebagaimana yang kita semua
fahami dan amalkan sekarang ini.

Sekarang tibalah kita ke perenggan yang dinukil dan diterjemahkan
oleh Zainudin Idris. Perhatian kita ditumpukan kepada satu ayat yang
diterjemah olehnya
sebagai:

"Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua
kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang), dua buah
kemaluan..."

Sengaja atau tidak, Zainudin Idris telah meninggalkan huruf "waw"
sebelum perkataan "dua kemaluan". Sekalipun kita biasa menterjemah
huruf "waw" sebagai "dan", yang benar di dalam ilmu bahasa Arab
huruf "waw" memiliki 5 peranan atau fungsi. Peranan huruf "waw" di
dalam ayat di atas adalah untuk memberi
tumpuan atau penekanan (emphasis) sehingga terjemahannya dalam bahasa
kita adalah:

"Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, khasnya
dua kemaluan..."

Dhamir "nya" yang diterjemahkan sebagai "tersebut" merujuk kepada
awal perenggan: "...maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan
keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan khalayak ramai.."

Dalam ertikata lain, terjemahan yang dikemukakan oleh Zainudin Idris
memberi erti kononnya di sisi al-Dahlawi aurat yang perlu ditutup
adalah DUA KEMALUAN SAHAJA.

Akan tetapi maksud sebenar al-Dahlawi, yang perlu ditutup ialah SEMUA
ANGGOTA BADAN YANG MENDATANGKAN AIB TERUTAMANYA DUA KEMALUAN.

Maksud sebenar al-Dahlawi ini selari dengan apa yang beliau jelaskan
sejak dari awal (sebagaimana yang telah saya ringkaskan poin-poinnya
di atas). Akan tetapi Zainudin Idris hanya kemukakan SATU PERENGGAN
yang terletak di separuh kedua perbincangan dengan terjemahan YANG
SALAH sehingga akhirnya tersasar jauh daripada maksud sebenar al-
Dahlawi. Semoga Allah memelihara para alim ulama' kita daripada
fitnah seperti ini.

Seterusnya Zainudin Idris menulis:

"Nabi s.a.w bersabda lagi: Tidakkah engkau tahu bahawa paha itu
aurat? Asal hukum menutup aurat di dalam syarak difaham daripada
firman Allah taala di dalam
surah al-A'raf, ayat 26. Allah berfirman: Wahai anak Adam
sesungguhnya Kami turunkan pakaian yang menutup kemaluan kamu dan
pakaian menutup seluruh tubuh dan pakaian takwa (sederhana) itu lebih
baik."

Komen:

Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggung jawab. Kata-kata al-
Dahlawi sebenarnya hanyalah sehingga ""Nabi s.a.w bersabda lagi:
Tidakkah engkau tahu
bahawa paha itu aurat?" Itu pun telah berlaku beberapa lagi kesilapan
menterjemah.

Selebihnya bukan kata-kata al-Dahlawi tetapi kata-kata Zainudin Idris
sendiri. Akan tetapi Zainudin Idris tidak memecahkannya kepada
perenggan baru, seolah-olah ia masih merupakan kata-kata al-Dahlawi.

Selain itu, perbincangan syari'at Islam tentang aurat wanita tidak
terletak dalam ayat 26 surah al-'Araf. Ini contoh terbaik
penyalahgunaan ayat al-Qur'an.

===============
Kedua:

Zainudin Idris menulis:


"Sebenarnya para imam Islam telah pun menetapkan aurat yang wajib
ditutup dan yang tidak wajib ditutup. Imam as-Syafii sebagai contoh
mengikut adat resam Arab dan perasaan mereka yang mana kaum
perempuannya suka menutup seluruh badan dan kaum lelakinya menutup
sekadar tiga per empat badan. Imam Hanafi mengikut
adat Ajam (Parsi) yang resamnya tidak jauh dengan Arab. Akan tetapi
Imam Malik, guru kepada Imam as-Syafii menetapkan aurat mengikut adat
resam orang-orang di sebelah Eropah. Dia membenarkan kaum lelaki
menutup dua kemaluan sahaja dan begitu juga dengan kaum wanitanya.
Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang
mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang."

Komen:

Kata-kata di atas tidak berdasarkan rujukan ilmiah tetapi sekadar
untuk membenarkan teori kaum modernis bahawa memakai tudung hanyalah
budaya Arab dan bukannya tuntutan agama.

Sejauh manakah kebenaran teori Zainudin Idris ini? Kata-kata
berikut: "Akan tetapi Imam Malik, guru kepada Imam as-Syafii
menetapkan aurat mengikut adat resam orang-orang di sebelah Eropah.
Dia membenarkan kaum lelaki menutup dua kemaluan sahaja dan begitu
juga dengan kaum wanitanya" adalah bukti yang jelas
akan kesalahan teori Zainudin.

Cuba para saudara-saudari perhatikan:

[1] Imam Malik rahimahullah tidak pernah keluar daripada Madinah
sepanjang hayatnya kecuali untuk menunaikan ibadah Haji di Kota
Mekah. Jauh sekali
bahawa Imam Malik pernah ke Eropah.

[2] Orang Eropah tak pernah ke Madinah, kerana Semenanjung Arab
adalah tanah larangan bagi kaum kuffar.

[3] Manhaj fiqh bagi Mazhab Imam Malik ialah amalan penduduk Madinah,
bukan Eropah.

[4] Di zaman Imam Malik, iaitu lebih kurang 1200 tahun yang lalu,
wanita-wanita Eropah sendiri berpakaian sepenuhnya. Mereka tak
pakai "seluar dalam" sahaja sehingga menampakkan anggota badan yang
lain.


=================
Ketiga:

Seterusnya Zainudin Idris menukil kata-kata Imam Abu Bakar al-Jassas.

"Imam Abu Bakar al-Jassas di dalam kitab Ahkamul Quran, jilid 3,
halaman tiga berkata: ``Sesungguhnya telah bersetuju ummah bahawa apa
yang ditunjukkan oleh ayat (al-Quran) adalah mesti menutup aurat.''

KOMEN:


Sebenarnya dalam kata-kata Imam al-Jassas tidak terkandung apa-apa
hujah yang dapat membantu Zainudin Idris. Ia dinukil sekadar memberi
solekan kosmetik kepada para pembacanya.

=================
Keempat:

Seterusnya Zainudin Idris menukil kata-kata Ibn 'Arabi dari kitabnya
al-Futuhat al-Makkiah:

"Ibnu al-Arabi berkata dalam al-Futuhat al-Makkiah jilid 1, halaman
521 pada bahagian `pada menyatakan batas aurat: ``Sebahagian ulama
mengatakan bahawa aurat lelaki itu hanyalah dua kemaluannya sahaja
(qubul dan dubur). Manakala sebahagian ulama pula mengatakan aurat
lelaki itu dari pusat ke lutut. Di sisi kami (Ibnu al-Arabi) hanyalah
dua kemaluannya sahaja yang dikira aurat yang hakiki, iaitu anggota-
anggota manusia yang dicaci, dibenci dan dianggap buruk melihatnya.
Dua kemaluan itu adalah tempat kepada apa yang kami sebutkan itu
adalah menepati hukum haram, anggota-anggota selain daripada dua
kemaluan itu dari pusat ke atas dan dari lutut ke bawah adalah
menepati hukum syubhat yang sepatutnya berjaga-jaga kerana berternak
di sempadan kawasan larangan itu hampir-hampir termasuk ke dalamnya.''

KOMEN:

Saya ingin menarik perhatian saudara-saudari kepada ejaan nama
pengarang kitab al-Futuhat al-Makkiah oleh Zainudin Idris.

Terdapat dua orang yang bernama hampir sama: Ibn 'Arabi dan Ibn al-
'Arabi. Yang pertama adalah tokoh Sufi yang dihukum sesat oleh banyak
ulama, yang kedua
adalah seorang tokoh besar Mazhab Maliki.

Pengarang asal kitab al-Futuhat al-Makkiah ialah Ibn Arabi dan bukan
Ibn al-Arabi sebagaimana yang didakwa oleh beliau. Ibn Arabi ialah
sang Sufi yang berkata Aku adalah Tuhan dan Tuhan adalah aku.

Ini jauh berbeza dengan al-Imam Ibn al-Arabi di mana beliau ialah
seorang ahli hadis, ahli fiqh dan ahli tafsir yang terkenal bagi
Mazhab Maliki. Perlu dibezakan tambahan alif lam bagi nama Arabi.
Sang Sufi Ibn Arabi bukanlah seorang mujtahid mahupun
ahli fiqh, justeru apa-apa pendapatnya tidak boleh dijadikan sandaran
hukum yang muktamad. Kitab al-Futuhat al-Makkiah bukanlah rujukan
dalam hukum-hukum Fiqh, sebagaimana buku Ekonomi bukanlah rujukan
kepada pelajar Engineering.

Pengarang al-Futuhat al-Makkiah ialah Ibn 'Arabi (tanpa AL), akan
tetapi Zainudin Idris telah menyebutnya sebagai Ibn AL-Arabi. Jika
bab "alif lam" pun berlaku kesilapan, pasti sahaja bab aurat dalam
syari'at Islam terlebih-lebih silapnya.

Walaupun kitab ini bukanlah rujukan dalam Fiqh, elok juga kita cuba
memahami apa yang ditulis oleh Ibn `Arabi tersebut. Apakah ianya
boleh difahami sebagaimana yang didakwa oleh Zainudin Idris atau itu
hanyalah dakwaan palsu beliau semata-mata.

Berdasarkan kepada terjemahan beliau itu pun, jelas di sini, walaupun
Ibnu `Arabi menyatakan aurat yang sebenar untuk lelaki ialah dua
kemaluan, tetapi beliau juga menyatakan bahawa anggota yang selain
dari dua kemaluan iaitu dari pusat ke atas dan dari lutut ke bawah
juga hendaklah ditutup kerana syubhat. Di dalam sebuah hadis yang
sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. bersabda yang
bermaksud: "Sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara syubhat bermakna
dia terjerumus ke dalam perkara haram."

=============
Kelima:

Seterusnya Zainudin Idris menukil kata-kata Ibnu `Arabi lagi:


"Ada pun mazhab kami (Ibnu al-Arabi), aurat pada perempuan
hanyalah
dua kemaluannya sebagaimana Allah berfirman: Mulailah mereka menutup
atas kedua mereka dengan daun dari syurga. (Al-A'raf, ayat 22). Allah
menyamakan di antara Adam dan Hawa pada menutup aurat keduanya (iaitu
dua kemaluan). Jika perempuan diarah menutup adalah mazhab kami,
tetapi bukannya tutupan itu kerana aurat malahan itu adalah undang-
undang syarak yang berkehendakkan menutup dan tidaklah pasti menutup
sesuatu itu kerana ia aurat."

KOMEN:

Perhatikan kepada kenyataan tersebut: "Jika perempuan diarah
menutup
adalah mazhab kami, tetapi bukannya tutupan itu kerana aurat malahan
itu adalah undang-undang syarak yang berkehendakkan menutup dan
tidaklah pasti menutup sesuatu itu kerana ia aurat."

Maksudnya ialah walaupun aurat sebenar pada Ibnu `Arabi adalah
dua
kemaluan, tetapi menurutnya juga, apabila perempuan disuruh menutup
anggota yang lain maka ia mesti ditutup juga kerana itu adalah undang-
undang (perintah) syarak. Jadi Ibnu `Arabi sendiri pun tidak
menyatakan bahawa selain dari dua kemaluan boleh didedahkan, bahkan
ia mesti ditutup juga.

=============
Keenam:

Zainudin Idris seterusnya membuat rumusan:

"Dengan huraian itu jelaslah bahawa walaupun segala nas, pendapat
para ulama muhaqqiqin boleh dikatakan telah ittifak (bersepakat) dan
ijmak mengakui bahawa
aurat sebenar yang dikehendaki oleh Allah supaya manusia menutupnya
itu hanyalah dua kemaluan (qubul dan dubur) sahaja sama ada pada kaum
lelaki atau perempuan."

Komen:

Di atas jelas satu dusta. Malah ini adalah satu rumusan yang
menyalahi nukilan-nukilan Zainudin Idris sendiri.

Perhatikan 2-3 perenggan sebelum rumusan di atas, Zainudin Idris
sendiri telah menukil kata-kata Ibn 'Arabi dalam aurat wanita:

"Pada bahagian `Batas aurat perempuan' pula beliau
berkata: "SEBAHAGIAN ulama mengatakan keseluruhan tubuh perempuan
aurat kecuali muka dan dua tapak
tangan. ADA PULA ULAMA yang mengatakan demikian dengan tambahan tapak
kakinya tidak termasuk aurat. ADA YANG MENGATAKAN perempuan
keseluruhannya aurat."

Daripada nukilan kata-kata Ibn 'Arabi ini, sudah jelas ada 3
pendapat. Lalu bagaimana Zainudin Idris boleh membuat rumusan ijmak
ke atas satu pendapat yang tidak termasuk dalam mana-mana daripada 3
pendapat di atas ?

Di sini kita tak perlu fikir atau bahas panjang kerana rumusan
Zainudin Idris telah dibatalkan oleh nukilan yang beliau sendiri
kemukakan.

=============
Ketujuh:

Untuk mempertahankan pendapatnya yang menyeleweng itu, Zainudin Idris
seterusnya menyatakan:

"Imam Ibnu Rusyd rahimahullah taala telah memberi penjelasan
dalam
Bidayatul Mujtahid, jilid 1; halaman 114: ``Para ulama keseluruhannya
telah ittifak (sepakat) mengatakan bahawa menutup aurat itu suatu
kewajipan yang mutlak, tetapi mereka berselisih faham tentang
penutupan itu adakah ia merupakan suatu syarat yang terkandung di
dalam beberapa syarat bagi sah sembahyang ataupun tidak.

Demikian pula mereka berlainan faham tentang batas-batas aurat pada
lelaki dan perempuan, tetapi yang ternyata di dalam mazhab Imam Malik
bahawa menutup aurat itu termasuk di dalam bahagian amalan sunat di
dalam sembahyang sahaja. Di dalam mazhab Abu Hanifah dan as-Syafii
menutup aurat itu sebahagian amalan fardu di dalam sembahyang. Sebab
perselisihan mereka di dalam menentukan perkara itu ialah kerana
hadis-hadis dan athar sahabat yang menjadi tunjang kepada masalah itu
didapati saling bercanggah kenyataannya serta para sahabat telah
berbeza dalam memahami maksud firman Allah (al-A'raf, ayat 31):

"Wahai anak-anak Adam pakailah perhiasan kamu pada setiap kali ke
masjid. Adakah suruhan Allah dengan menggunakan perhiasan itu
menunjukkan suruhan wajib atau sunat jua."

KOMEN:

Nukilan di atas mengandungi beberapa penyelewengan ke atas Imam Ibn
Rusyd rahimahullah (595H) dan Mazhab Maliki. Justeru saya akan cerita
panjang sedikit.

Pertama:

Zainudin Idris telah menterjemah perkataan "Sunan" di dalam teks Arab
kitab Bidayah al-Mujtahid sebagai "Sunat" padahal yang benar
perkataan "Sunan" tersebut adalah satu istilah yang perlu difaham
mengikut standard Mazhab Maliki.

Seolah-olah Zainudin Idris ingin mengambil kesempatan mudah daripada
hukum "Sunat" ini bagi menyatakan nak tutup aurat silakan, tak mahu
tutup tak apa kerana ia hanya sunat hukumnya. Berikut ialah
terjemahan saya terhadap kata-kata Ibn
Rusyd, rujukan saya ialah Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Fikr, Beirut
tp.thn.), jld. 1, ms. 82, (Kitab Solat, Bab ke 4 berkenaan menutup
aurat dan pakaian dalam solat, fasal pertama):

Bersepakat para ilmuan bahawa menutup aurat adalah fardhu secara
mutlak. Dan mereka berbeza pendapat sama ada ia adalah salah satu
syarat daripada syarat-syarat
sah solat atau tidak. Dan demikian juga mereka berbeza pendapat
tentang batas aurat bagi seorang lelaki dan wanita.

Dan yang zahir di dalam Mazhab Maliki bahawa ia adalah daripada Sunan
Solat manakala Abu Hanifah dan al-Syafie berpendapat bahawa ia adalah
daripada
kefardhuan solat.

Sekian perenggan pertama kata-kata Ibn Rusyd.

Soalnya, apakah yang dimaksudkan dengan Sunan ? Al-Baji rahimahullah
(474H) di dalam kitabnya al-Muntaqa Syarh al-Muwattha' (Dar al-Kitab
al-Islami, Beirut tp.thn.), jld. 1, ms. 247 (Bab Rukhsah dalam
bersolat dengan sehelai pakaian) telah berkata:

Maka adapun berkenaan pakaian (solat) maka sesungguhnya baginya
terdapat dua jumlah, jumlah yang fardhu dan jumlah yang utama. Maka
adapun yang fardhu
bagi seorang lelaki maka ia adalah apa yang menutupi aurat dan tidak
wujud perbezaan pendapat tentang kefardhuannya.

Akan tetapi para sahabat kami berbeza pendapat tentang tafsir yang
sedemikian. Berkata al-Qadhi Abu al-Faraj, ia adalah salah satu
fardhu daripada kefardhuan solat
dan ini adalah juga pendapat Abu Hanifah dan al-Shafie. Dan berkata
al-Qadhi Abu Ishaq sesungguhnya ia adalah daripada Sunan Solat, dan
ini adalah juga merupakan pendapat Ibn Bukair dan al-Syaikh Abu Bakr.

Adapun faedah perbezaan pendapat ini, bahawasanya jika kami berkata
sesungguhnya ia adalah daripada kefardhuan solat maka solat akan
batal dengan ketiadaan penutup aurat manakala jika kami berkata ia
bukanlah daripada kefardhuan solat (ertinya ia adalah Sunan) maka
berdosa orang yang meninggalkan penutup aurat akan tetapi tidaklah
batal solatnya.

Sekian al-Baji.

Ringkasnya terdapat dua pendapat di kalangan ahli fiqh Mazhab Maliki
tentang hukum menutup aurat dan kaitannya dengan syarat sah solat.
Yang pertama berkata ia adalah Fardhu, sesiapa yang tidak menutup
aurat maka batal solatnya. Yang kedua berkata ia adalah Sunan,
sesiapa yang tidak menutup aurat maka tidaklah batal solatnya tetapi
dia berdosa besar.

Ini jauh berbeza dengan istilah Sunat yang sedia kita fahami, bahawa
jika buat dapat pahala, tak buat tak dosa. Ertinya, menutup aurat
dalam solat dapat pahala manakala tak tutup aurat tak dapat apa-apa
dosa. Padahal yang dibahas dalam Mazhab Maliki dengan istilah Sunan
ialah sah atau tidak solat, menutup aurat sah solatnya, tidak menutup
aurat tetap juga sah tetapi mendapat dosa.

Perlu juga diperincikan bahawa tidak menutup aurat yang dimaksudkan
dengan istilah Sunan adalah untuk jangka waktu yang singkat dan bukan
keseluruhan solat.

Mujtahid Mazhab Maliki, al-Haththabi rahimahullah (954H) dalam
kitabnya Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil (Dar al-Fikr,
Beirut 1398H), jld. 1, ms. 498 (Kitab Solat, Fasal: Menutup aurat
dalam solat) berkata:

(Jika) Imam jatuh penutup auratnya ketika rukuk lalu dia menarik
semula selepas mengangkat kepala (daripada posisi rukuk), berkata Ibn
al-Qasim daripada Musa:
Tidak apa-apa ke atasnya (yakni solatnya tidak batal) jika dia
menarik semula. Akan tetapi jika dia tidak menarik semula maka perlu
diulangi solat dalam waktunya kerana pada asalnya menutup aurat
adalah daripada Sunan Solat.

Sekian al-Haththabi.

Ringkasnya yang dimaksudkan dengan Sunan Solat dan kaitannya dengan
menutup aurat adalah, jika aurat terdedah dan ia ditutup semula maka
solat tetap sah. Jika ia dibiarkan terdedah maka batal solat tersebut
dan perlu diulangi semula.

Demikian maksud sebenar istilah Sunan dan kaitannya dengan hukum
menutup aurat sebagai syarat sah solat bagi Mazhab Maliki. Ia
bukanlah sunat dan tidak boleh
diterjemahkan sebagai sunat.

Kedua:

Asal perbincangan dan penghujahan Zainudin Idris ialah berkenaan
batas aurat wanita. Saya hairan kenapa Zainudin Idris hanya
mengemukakan perenggan pertama perbahasan Ibn Rusyd yang hanya
merupakan "muqaddimah" dan mendiamkan perenggan seterusnya yang
merupakan hujah yang menutupi segala penyelewengan beliau.

Berkata Ibn Rusyd di mukasurat seterusnya (Bidayah al-Mujtahid,
1/83), fasal ketiga:

Dan adapun masalah ketiga, ia adalah berkenaan batas aurat wanita,
maka kebanyakan ilmuan berpendapat bahawa keseluruhan badannya adalah
aurat kecuali wajah dan tangan. Dan Abu Hanifah berpendapat kaki
bukanlah aurat. Dan Abu Bakar bin 'Abd al-Rahman dan Ahmad (bin
Hanbal) berpendapat seluruhnya adalah aurat.

Sekian Ibn Rusyd.

Jadi sekalipun wujud perbezaan pendapat di kalangan fuqaha, tiada
sedikitpun ia mendekati hujah yang cuba dibangkitkan oleh Zainudin
Idris bahawa aurat wanita hanyalah dua kemaluannya.

===========================
Kelapan:

Zainudin Idris cuba lagi menegakkan pendapat songsangnya dengan
menyatakan:

"Riwayat daripada Abu Hanifah, beliau berkata: ``Aurat terbahagi
kepada dua bahagian, aurat mughallazah (aurat berat) dan aurat
mukhaffah (aurat ringan).

Aurat mughallazah itu adalah qubul dan dubur dan aurat mukhaffah,
iaitu anggota-anggota selain daripada apa yang telah disebut ia
daripada aurat.''

KOMEN:

Zainudin Idris cuba menyeleweng maksud aurat besar dan aurat kecil
mengikut takrifan Abu Hanifah. Dengan takrifan ini, dia berkesimpulan
aurat wanita yang perlu ditutup ialah dua kemaluannya, manakala
rambut (dan selainnya) boleh dibiar terdedah. Dalam erti kata lain,
ciri-ciri wanita Islam yang menutup aurat mengikut Zainudin Idris
ialah mereka yang memakai panty sahaja.

Adapun pembahagian Mazhab Hanafi kepada aurat besar dan kecil, ia
hanyalah bagi membezakan aurat yang darurat dan bukan darurat. Yakni,
Jika seseorang itu hanya memiliki pakaian yang terhad setelah dikerah
segala usaha termampu, maka bahagian tubuh badan yang perlu diberi
prioriti untuk ditutup ialah aurat besar. Saya pasti semua orang
faham hal ini. Di sisi Mazhab Hanafi, aurat besar dan aurat kecil
adalah dua pembahagian yang sama-sama duduk di bawah kemutlakan hukum
wajib. Jauh sekali daripada penafsiran Zainudin Idris bahawa aurat
besar adalah wajib manakala aurat kecil tidak wajib.

Sehingga ini sahaja komen saya ke atas bahagian pertama artikel
Zainudin Idris tentang aurat wanita. Kita nantikan sambungan bahagian
kedua.

Sebenarnya saya tidak kisah jika Zainudin Idris atau teman semazhab
dengannya Astora Jabat hanya ingin memakai daun di depan dan belakang
kemaluannya atau bercawat sahaja ketika ke pejabat atau bersiar-siar.
Demikian juga, sesiapa yang berpendapat aurat hanyalah dua kemaluan,
DIPERSILAKAN. Akan tetapi janganlah membenarkan pendapat ini dengan
atas nama "Syari'at Islam" atau "Hujah para ulama Islam."

Kepada saudara-saudari yang saya muliakan:

[1] Berhati-hatilah dengan orang yang berbicara agama demi mencapai
tujuan atau objektifnya tersendiri. Fitrah manusia memang suka
mencari nama, harta dan kedudukan. Jika tak boleh buat cara baik, dia
akan buat cara tak baik, asalkan dapat apa yang dihajati.

Jika kita perhatikan artikel Zainudin Idris di atas, jelas dia telah
buat kajian dengan membuka kitab-kitab besar. Akan tetapi untuk apa
kajiannya? Tidak lain ialah menyalahgunakan kata-kata ulama' untuk
membenarkan teorinya sendiri.

Cuba perhatikan nukilan Zainudin Idris daripada kitab Bidayatul
Mujtahid di akhir artikelnya. Kemudian rujuk kepada jawapan saya.
Perhatikan bagaimana dia menukil sebahagian dan meninggalkan
sebahagian.

[2] Kita perlu bersatu untuk memerangi orang-orang seperti ini.
Mereka memiliki kekuatan media, akan tetapi kita memiliki kekuatan
kebenaran. Yang tinggal ialah menyebarkan kebenaran tersebut.

Firman Allah:

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya
menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat
kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka
mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan
RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [al-Taubah 9:71]
 

firmanNya:Apakah tidak engkau perhatikan mereka yang mengambil nafsu sebagai tuhannya? ALLAH biarkan mereka sesat dalam ilmu ( mereka ). Ditutup pendengaran dan hati mereka,dan dijadikan penglihatan kabur.

( Al Jasiah: 23 )Inilah yang sedang melanda dunia seluruhnya pada hari ini.
 

Wallahu-A'lam


Wassalam.