Make your own free website on Tripod.com

*****Manusia yang lupa*****

 

*** Allah melupakan manusia yang melupakan-Nya ***
 
At-Termizi meriwayatkan sebuah hadith dari Abi Said dan Abi Hurairah r.a.
katanya; bahawa Rasulullah saw bersabda (yang bermaksud) : 
 
"Seorang manusia dibawa ke hadapan Allah swt,pada hari akhirat lalu 
Tuhan bertanya kepadanya : 
 
Tidakkah kamu sedar bahawa Aku jadikan pendengaranmu,harta benda, 
anak-anak,haiwan dan binatang ternak untuk kamu manfaatkan sebagai suatu 
kemudahan,segala pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan, dijadikan pemimpin 
dari kalangan kamu serta mengambil hasil mahsul (cukai dan seumpamanya) 
dari orang ramai. Ketika (kamu menerima segala kurnia) itu adakah kamu 
terfikir tentang hari pertemuan dengan-Ku?Jawab orang itu : Sesungguhnya 
aku tidak pernah memikirkan untuk bertemu Engkau wahai Tuhan. Tuhan 
menempelak orang itu: Pada hari ini Aku melupakan engkau sebagaimana 
engkau telah melupakan Aku. 
 
       Hadith riwayat At-Termizi ini menunjukkan dengan terang bahawa 
semua anugerah Tuhan seperti; pendengaran yang membolehkan mendengar 
suara bagi memudahkan berkomunikasi sesama manusia. Penglihatan yang 
membolehkan manusia menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan termasuk 
diri mereka sendiri. Anak-anak yang memeriahkan kehidupan berkeluarga. 
Harta kekayaan yang membolehkan manusia menikmati kehidupan yang sempurna. 
Haiwan ternakan yang boleh diambil manfaatnya sama ada untuk dimakan 
dagingnya atau digunakan sebagai kenderaan.Tumbuh-tumbuhan yang 
menghijaukan alam serta menerbitkan buah-buahan sebagai bahan makanan 
yang diperlukan. 
 
       Selain itu Allah swt jadikan pemimpin di kalangan manusia dengan 
kepimpinan dan kekuasaan yang dianugerahkan kepada manusia, membolehkan 
mereka mengatur kehidupan manusia dan mentadbir Negara dengan sebaiknya.
Kemudian membolehkan pemimpin itu berkuasa mengatur sebahagiab harta 
mereka sebagai cukai dan sebagainya. 
 
       Kepimpinan yang paling utama yang telah didatangkan oleh Allah swt 
kepada manusia ialah para rasul dan nabi-nabi,mereka yang bertanggungjawab 
untuk menyampaikan ajaran yang berdasarkan wahyu Ilahi. Dengan ajaran itu, 
akan membawa manusia selamat di dunia dan berbahagia di akhirat. 
       
       Tetapi adakah manusia menyedari adanya tuntutan di sebalik semua 
anugerah Allah swt.Adakah mereka fikir bahawa setelah manusia dihidupkan 
di dunia dan diberi segala kemudahan,maka mereka dibiarkan leka tanpa 
sebarang tujuan? 
 
       Inilah persoalan yang dibangkitkan oleh Allah swt ketika manusia 
dibangkitkan semula di akhirat selepas peristiwa Qiamat. Sedangkan Allah 
swt mengurniakan pendengaran mempunyai tanggungjawab untuk mendengar 
segala nasihat yang disampaikan oleh para nabi dan rasul, ataupun para 
ulama yang berperanan menyampaikan dan meneruskan perjuangan para rasul. 
 
       Begitu juga penglihatan yang dianugerahkan Tuhan, sudahkah mereka 
pergunakan untuk meneliti ayat-ayat Allah samada ayat yang makruah (yang 
dibaca,iaitu wahyu Allah) atau ayat-ayat yang manzurah (yang dilihat 
iaitu sekalian alam dan cakerawala). Kerana segala ayat-ayat tersebut 
menjadi dalil atau hujjah adaNya Allah swt yang Maha Berkuasa menciptakan 
alam ini. 
 
       Adakah mereka terfikir bahawa pendengaran dan penglihatan serta 
lain-lain anugerah Allah swt itu sekadar untuk mereka berseronok dan 
berpoya-poya di dunia ini,sehingga mereka lupa pertemuannya dengan Allah 
di akhirat kelak? Ternyata begitu ramai di kalangan manusia yang telah 
melupakan pertemuannya dengan Allah swt sehingga mengabaikan segala 
kewajipan yang diperintahkan Allah taala.Lantaran sebahagian besar 
manusia mengabaikan dan melupakan hari pertemuannya dengan Allah, maka 
demikian pula manusia dilupakan oleh Allah swt di akhirat kelak. 
 
Firman Allah ;
 
"(Iaitu) orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-mainan 
dan senda gurau,dan kehidupan dunia telah menipu mereka.Maka pada hari 
(Qiamat) ini,Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan 
pertemuan mereka dengan hari ini,dan (sebagaimana) mereka mengingkari 
ayat-ayat Kami. (Surah Al-Araaf : Ayat 51) 
 
Wallahu A'lam..