Make your own free website on Tripod.com

Konsep takdir dapat atasi kesedihan

Oleh Mohd Shauki Abd Majid


Allah berfirman yang bermaksud: ``Tidak ada suatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga `yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan ingatlah, Allah tidak suka kepada orang yang sombong dan takbur, lagi membanggakan diri.'' - (Surah al-Hadid: ayat 22-23).

Tidak ada yang bakal terjadi di alam raya ini kecuali atas izin dan kehendak Allah. Meskipun begitu, perlu diingat bahawa kehendak-Nya pada dasarnya, tercermin pada hukum-hukum alam yang diciptakankan-Nya. Apabila seseorang tidak menyesuaikan diri dengan kehendak-Nya yang tercermin dalam hukum-hukum alam itu, dia pasti mengalami kesusahan serta kesukaran. Dia akan mengalami bencana, baik pada dirinya mahupun persekitarannya. Di sini kita sepatutnya berkata bahawa bencana itu adalah kehendak-Nya jua. Bukankah Dia yang menciptakan hukum-hukum-Nya?

Dalam hal ini, al-Quran mengecam manusia yang tidak menggunakan logika yang betul. Perhatikan firman-Nya yang bermaksud:

``Mereka orang kafir berkata, ``Kami mempunyai lebih banyak harta dan anak-anak daripada kamu, sehingga kami tidak akan diseksa.'' Katakanlah, ``Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkannya (bagi siapa yang dikehendaki-Nya), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui'' - (Surah Saba': ayat 35-36).

Mereka tidak mengetahui bahawa kemurahan mahu pun sempitnya rezeki tidak ada kaitan dengan kemurkaan atau keredaan Allah, tetapi berkaitan dengan hukum-hukum alam yang diciptakan-Nya. Buruk dan baik yang diterima dalam kehidupan seseorang itu berkait rapat dengan sikapnya terhadap hukum-hukum alam yang mencerminkan kehendak Allah itu.

Logika yang menyimpang terlihat juga pada sikap kita terhadap bencana sebagaimana sering kali kita menyatakan, ``Itu takdir Ilahi.'' Bagaimanapun, apabila nikmat-Nya kita peroleh, maka kata ``takdir'' lenyap begitu sahaja daripada fikiran kita.

Suatu hal luar biasa yang hanya terjadi sesekali, kita jadikan ia sebagai petanda-petanda daripada Allah. Akan tetapi, apabila itu terjadi berulang-kali, kita lupa pula menjadikan sebagai petanda ataupun petunjuk yang seharusnya menjadikan kita sebagai manusia yang dikasih-Nya.

Tidak dapat ditolak oleh kewarasan akal bahawa pada hakikatnya, segala sesuatu adalah tanda-tanda daripada-Nya dan tanda-tanda kebesaran serta kekuasaan-Nya.

Alam raya dan segala isinya, fenomena demi fenomena dan kerencaman peristiwanya, yang terjadi berulang kali atau hanya sesekali berlaku, semua dilestarikan oleh al-Quran dengan ayat (tanda-tanda). ``Sesungguhnya dalam penciptaan (sistem tatakerja langit dan bumi, penggantian siang dan malam, bahtera yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering) nya, dan Dia di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir'' - (Surah al-Baqarah: ayat 164).

Apakah sebenarnya kaitan antara manusia dengan alam? Pasti ada! Tumbuhan dapat tumbuh lebih subur jika ada daya manusia untuk mengusaha tanah serta memeliharanya. Banjir pula terjadi jika manusia menebang pokok-pokok yang seharusnya dipulihara. Itu hanya dua dari pada sekalian banyak contoh mudah yang kita temui.

Di sisi lain, semakin banyak yang kita ketahui tentang alam raya, semakin banyak pula yang dapat dianugerahkan-Nya kepada kita. Demikian juga, semakin erat kerjasama antara manusia, semakin banyak pula manfaat yang mereka peroleh.

* MOHD SHAUKI ABD MAJID ialah Penolong Pengarah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).