Make your own free website on Tripod.com

*****Bersama Remaja Muallaf*****

 

WAWANCARA BERSAMA REMAJA MUALLAF DI LONDON

Wawancara khas dengan seorang remaja muallaf di kotaraya London, Ayesha (nama dahulunya Stephanie) tentang perspektif beliau setelah memeluk Islam.
Semoga ia menjadi iktibar dan inspirasi untuk para remaja alaf baru.



WARTAWAN (W) - Assalamu'alaikum,
AYESHA (A) - Wa'alaikumussalam.

W - Boleh ceritakan sedikit tentang latar belakang saudari?
A - Nama saya Ayesha (Stephanie). Saya seorang warganegara
United Kingdom (UK) dan tinggal di bandaraya London. Umur saya 14 tahun dan masih bersekolah. Saya telah menganut agama Islam beberapa hari yang lalu.

W - Adakah saudari masih ingat kali pertama saudari mendengar tentang agama Islam?
A - Ya, saya masih ingat. Pada masa itu saya baru berpindah ke
London. Saya tinggal di kawasan di mana sebilangan besarnya didiami oleh komuniti Muslim. Kebanyakan kawan-kawan saya beragama Islam.

W - Sejak bila saudari berpindah ke sana?
A - Kira-kira dua tahun lepas.

W - Apakah yang menarik perhatian saudari tentang kawan-kawan yang beragama Islam? Apakah kesan atau pengaruh mereka terhadap saudari, terutamanya tentang agama Islam?
A - Saya merasa amat kagum dengan cara mereka bercerita tentang Tuhan mereka, dengan perasaan yang amat bangga dan penuh rasa kecintaan. Saya tertarik dengan cara mereka menerangkan tentang agama mereka, dan ia dapat diterima oleh akal fikiran.

W - Apakah yang membuat saudari menganggap bahawa agama Kristian tidak sesuai dengan diri saudari?
A - Ia tidak dapat diterima oleh akal fikiran saya.

W - Sesetengah orang berpendapat bahawa Islam menindas golongan wanita. Mereka beranggapan bahawa wanita Muslim menjadi hamba kepada golongan lelaki Muslim. Masyarakat mempunyai tanggapan serong tentang Islam. Adakah saudari percaya dengan tanggapan sedemikian? Adakah saudari merasa bahawa Islam menindas kaum wanita dan menghalang kebebasan mereka? Adakah saudari percaya bahawa Islam mempunyai perspektif yang negatif kepada wanita?
A - Saya tidak percaya pada tanggapan serong sebegini kerana saya tidak akan mempercayai sesuatu selagi saya belum mendapatkan cerita daripada kedua-dua belah pihak. Malangnya, kebanyakan orang tidak berbuat begini dan mereka percaya terus kepada khabar yang didengar ataupun dibaca oleh mereka. Saya fikir ini adalah satu kesilapan. Lagipun, saya banyak melihat wanita bukan Islam ditindas oleh kaum lelaki.

W - Allah memerintahkan wanita Muslim untuk menutup aurat. Adakah saudari fikir ini merupakan satu ketidakadilan atau penindasan kepada golongan wanita? Saya harap saudari bersikap terbuka dalam hal ini.
A - Saya tidak fikir apabila seseorang wanita menutup tubuh badannya, itu dianggap sebagai satu penindasan. Saya percaya Allah Maha mengetahui apa yang terbaik untuk memelihara kehormatan wanita.

W - Ramai juga wanita Islam yang tidak menutup aurat, melitupi seluruh tubuh badan mereka kecuali muka dan tangan, walaupun mereka tahu bahawa itu adalah perintah daripada Allah. Apakah nasihat saudari kepada mereka dan juga pandangan tentang hal ini?
A - Kita tidak boleh melakukan hanya sebahagian sahaja daripada sesuatu perkara yang telah diperintahkan itu. Sebagai contoh, jika ibubapa kita menyuruh kita menyediakan secawan teh, kita tidak sekadar menjerang air. Kita juga perlu memasukkan uncang teh dan gula serta menuangkannya ke dalam cawan. Wanita Muslim seharusnya mematuhi segala perintah Allah kesemuanya dan tidak hanya melakukan sebahagian daripadanya.

W - Adakah keluarga saudari menerima keputusan saudari untuk memeluk agama Islam?
A - Saya tidak memberitahu mereka, kerana mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku dan pengetahuan saya masih belum mendalam. (NOTA: Baru-baru ini, Ayesha memberitahu kepada bapanya dan Alhamdulillah, bapanya tidak menentang tindakan anaknya itu.)

W - Jika saudari berpindah ke sebuah tempat di mana ramai orang Islam tinggal, adakah saudari memakai pakaian bersesuaian dengan diri saudari sebagai wanita Muslim, iaitu menutup aurat?
A - Ya, kerana itu merupakan salah satu daripada perintah Allah. (NOTA: Ayesha telah bersedia untuk menutup aurat, setelah memberitahu keluarganya dan kini sedang menyediakan pakaian baru untuk tujuan itu.)

W - Adakah mudah untuk mengikut ajaran Islam? Adakah saudari merasa sesuatu yang baru dan tidak pernah dirasai sebelum ini?
A - Untuk mengikut ajaran Islam, tidak semudah yang disangka. Kecuali jika kita menetapkan hati dan perasaan sepenuhnya untuk mendalami segala ajaran yang telah diperintahkan. Jika kita hanya menggunakan fikiran, atau kita tidak merasa apa-apa kelainan, kita memang merasa sukar. Akan tetapi, jika kita memikirkan tentang Allah dan segala perbuatan kita ini sebagai suatu ibadah kepada-Nya, kita akan merasa lebih mudah. Beberapa hari selepas saya memeluk Islam, saya merasakan sesuatu telah membersihkan hati dan fikiran saya. Saya merasa satu kelainan, walaupun saya cuba berbuat seperti biasa. Ia seperti satu kebebasan daripada belenggu.

W - Jika anda tahu bahawa Allah akan memakbulkan permintaan daripada saudari, apa yang saudari inginkan?
A - Saya inginkan kedamaian dan persaudaraan di seluruh dunia, agar semua manusia dapat ditunjukkan jalan yang betul, kerana ramai lagi di antara mereka yang tidak tahu tentang Islam.

W - Adakah saudari ingin mengajak lebih ramai orang menganut agama Islam, atau saudari hanya sekadar mengikut ajaran ini bersendirian, tanpa berdakwah?
A - Saya akan mengajak orang lain setelah pengetahuan saya tentang Islam dapat membantu untuk saya berdakwah dengan baik.

W - Ya, ia telah terkandung di dalam Al-Quran bahawa ilmu pengetahuan penting dalam berdakwah.
A - Saya tidak tahu pun tentang itu!

W - Apakah mesej yang ingin anda sampaikan kepada mereka yang berikut :
1. Pendakwah Islam
2. Wanita Muslim
3. Wanita bukan Muslim

A -
1. Teruskan usaha anda yang murni itu!
2. Sentiasa kukuhkan iman dan Allah akan memberi ganjaran kepada anda.
3. Adakah anda tahu sama ada anda di jalan yang betul? Belajar tentang Islam dan anda akan temui jalan yang benar, Allah akan menyelamatkan anda.


W - Semoga Allah memberikan balasan baik kepada saudari. Assalamu'alaikum.
A - Wa'alaikumussalam.




CATATAN PENGARANG:
Artikel ini dikirimkan oleh Sdr. Zarul Zakaria dan diambil daripada emel asal yang ditulis oleh Enis Haxhiaga di dalam Bahasa Inggeris. Usaha terbaik telah diambil untuk menterjemahkan wawancara ini seberapa tepat yang mungkin.