Make your own free website on Tripod.com

*****Atasi Masalah Sosial*****

 

Berikut adalah beberapa cadangan berkenaan dengan kempen menangani penyakit masyarakat atau pun dipanggil gejala sosial. Satu usaha bersepadu tanpa mengira batasan perkauman dan fahaman politik haruslah digerakkan dalam menangani gejala sosial ini. Ini adalah kerana penyakit atau ‘wabak’ ini melanda masyarakat tanpa mengenal latar belakang kaum serta fahaman politik mereka. Memandangkan penyakit gejala sosial ini dihidapi kebanyakkannya oleh bangsa Melayu yang beragama Islam, maka cadangan yang disampaikan ini , lebih menjurus kepada penyelesaian yang lebih tertumpu kepada komuniti Islam. Sekiranya penyakit masyarakat ini dapat diubati dikalangan komuniti Islam maka secara tidak langsung akan menarik minat komuniti bukan Islam untuk menangani gejala sosial di komuniti mereka dengan berpandukan kepada kaedah yang dibentangkan di sini. Di sini digunakan terminologi penyakit masyarakat kerana gejala sosial ini bukan hanya memberi kesan negatif terhadap fizikal, jiwa dan minda mereka yang terjebak ke dalamnya, malah ianya memberi kesan negatif terhadap pembentukan masyarakat dan peradaban manusia. Adalah tidak adil jika sekiranya penyakit masyarakat atau gejala sosial ini hanya dikaitkan dengan golongan para remaja semata-mata. Penyakit ini dihidapi oleh pelbagai lapisan umur dan jantina, apa yang menyedihkan ianya melibatkan mereka yang belum baligh atau kanak-kanak lagi hinggalah mereka yang sudah menjangkau usia emas. Antara penyakit masyarakat yang merebak sekarang ini ialah sumbang mahram, budaya gangsterisma dan vandelisma, penagihan dadah, keganasan rumah tangga, pembuangan bayi, tekanan jiwa dan banyak lagi penyakit lain yang kita sendiri merasa terkedu lidah untuk menyebutnya.

Diatas kesedaran dan keinsafan tentang bahayanya gejala sosial kepada masa hadapan agama dan negara, adalah disarankan Kerajaan Negeri membentuk satu Jawatankuasa dan Pelan Tindakan Bersepadu yang menyeluruh yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai latar belakang fahaman politik, jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani dan seterusnya membendung gejala sosial daripada terus berakar umbi di dalam masyarakat. Pelan Tindakan Bersepadu ini perlu mengenal pasti punca sebenar berlakunya gejala sosial dan juga mengenal pasti kaedah penyelesaian yang berkesan. Antara perkara-perkara penting yang perlu diambil kira bagi mempastikan kejayaan dan keberkesanan Pelan Tindakan ersepadu tersebut adalah seperti berikut :

1. MENGGERAKKAN KOMUNITI

Setiap usaha yang dilakukan dalam apa-apa permasalahan masyarakat tidak akan berjaya jika masyarakat ditempat di mana masalah itu berlaku tidak turut sama menggembeling tenaga. Untuk menggerakkan masyarakat Melayu ataupun komuniti Islam, tempat yang paling sesuai dalam mendapat komitmen mereka ialah di masjid-masjid atau di surau-surau. Kerana di sinilah masyarakat berkumpul pada setiap hari , setidak-tidak pada waktu malam sekiranya mereka sibuk bekerja pada siang harinya. Apabila masjid-masjid dan surau-surau mula membincangkan mengenai cara-cara untuk menangani penyakit masyarakat ini, sudah pastilah Pelan Tindakan yang disusun oleh kerajaan negeri melalui agensi-agensi kerajaan dan jabatan yang berkaitan akan menjadi lebih mudah. Apa yang kita mahukan di sini ialah masjid-masjid dan surau-surau menjadi perantara kepada mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan negeri dalam mengubati penyakit ini serta kaedah rawatan yang perlu diambil dan seterusnya kaedah pencegahannya.Apabila mandat diberikan kepada pihak masjid serta surau dan seterusnya komuniti setempat untuk melaksanakan program ini, sudah pasti masyarakat akan memandang tinggi terhadap institusi masjid serta surau, dan mereka akan melihat hubungan jambatan antara komuniti setempat dengan kerajaan negeri. Pihak jawatankuasa masjid dan surau hendaklah diberi kefahaman yang sepenuhnya bahawa usaha ini bukannya untuk meraih keuntungan atau sokongan mana-mana pihak,tetapi ianya adalah untuk manafaat masyarakat keseluruhannya.Kaedah ini adalah seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dimana masjid dijadikan tempat untuk menyelesaikan segala permasalahan masyarakat, sumber rujukan, pusat kaunseling dan seterusnya.

2. KEMPEN SOLAT

Sembahyang adalah merupakan tiang agama. Meninggalkan solat bermakna kita merobohkan tiang agama. Apabila tiang agama itu roboh maka tiadalah sudah pegangan hidup.Dalam Al Quran disebutkan “Solat itu mencegah daripada pekerjaan keji dan mungkar”. Penyakit masyarakat dan gejala sosial yang disebutkan tadi adalah merupakan perkara keji dan mungkar. Ini menunjukkan di sini betapa solat bukan hanya membentuk peribadi Islam malah ianya membentuk masyarakat serta komuniti Islam. Betapa beratnya suruhan mengerjakan solat ini hinggakan ianya wajib dilakukan dalam apa jua keadaan sekali pun, selagi hati boleh berdetik, selagi mata boleh berkelip, selagi akal kita masih waras samada dalam keadaan berdiri, duduk ataupun terbaring. Rasulullah saw mengajar kita agar menyuruh anak-anakkita mendirikan solat sejak dari usia 7 tahun lagi.Maka kempen solat hendaklah menjadi agenda utama dalam Pelan Tindakan Bersepadu. Kempen solat dalam apa jua keadaan dan masa, kempen solat di masjid dan surau,kempen solat di gedung-gedung perniagaan, kempen solat di tempat kerja malah kempen solat di pusat-pusat peranginan dan rekreasi serta di stadium-stadium.Tidak ketinggalan juga kempen solat semasa perjalanan terutama di musim perayaan baik dalam keretapi ataupun mereka yang membawa kenderaan sendiri. Sekali lagi untuk melancarkan kempen ini, institusi masjid memainkan peranan yang begitu besar untukmenyedarkan orang ramai.

3. KERJASAMA DENGAN AGENSI KERAJAAN DAN BADAN SUKARELA

Beberapa agensi kerajaan dan badan sukarela telah pundibentuk sejak sekian lama dalam menangani penyakit masyarakat. Antaranya ialah Agensi Dadah Kebangsaan,Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Majlis AgamaIslam Negeri, Polis Di Raja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan seterusnya.I nstitusi masjid dan surau haruslah dari masa kesemasa mengadakan kerjasama dengan pihak yangdisebutkan tadi dalam menangani penyakit masyarakat. Dalam menangani masalah ragut, pecah rumah, rogol dan sebagainya jalinan kerjasama dan pertukaran maklumat boleh dilakukan dengan pihak PDRM.Dalam menangani kes lepak, ponteng sekolah, penagihan arak dan sebagainya , kerjasama boleh dilakukan dengan Pihak Berkuasa Tempatan dengan memberi maklumat mengenai pusat-pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen, melebihi had masa, penjualan arak tanpa lesen, pengiklanan arak tanpa permit dan seterusnya. Pihak Berkuasa Tempatan juga boleh memberi penerangan kepadamasyarakat setempat mengenai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh pusat-pusat hiburan, kedai menjual arak, kedai judi dan seterusnya, seperti kewajaran mengadakan kedai-kedai menjual arak serta kedai-kedai judi di kawasan yang majoritinya Islam.Begitu juga dalam menangani masalah penagihan dadah kerjasama antara pihak masjid dan surau boleh diwujudkan dengan Agensi Dadah Kebangsaan. Jika selama ini masjid dan surau hanya dijadikan tempat penyampaian ceramah atau kuliah agama, mengapa tidak ianya dijadikan tempat menyelesaikan segala permasalahan yang disebutkan tadi selagi ianya menurut apa yang dikehendaki oleh Islam dan tidak melanggar batas-batas syarak.

4. KEMPEN MEMUDAHKAN PERKAHWINAN

Jenayah seksual semakin ketara sekarang ini, malah ianya melibatkan mereka yang berada di bangku sekolah lagi. Islam menyuruh ibu bapa apabila sudah sampai masanya anak-anak mereka berkeinginan untuk berkahwin maka hendaklah ianya disegerakan. Ini adalah untuk menghindari mereka daripada terjebak ke lembah yang hina.Kemajuan sains dan teknologi dengan dunia tanpa sempadannya menyebabkan anak-anak muda sekarang ini begitu mudah untuk mendapatkan bahan-bahan yang memberahikan nafsu. Apabila pegangan agama semakin luntur dan nafsu dari hari ke sehari semakin memuncak, maka syaitan akan menguasai jiwa mereka. Apabila syaitan sudah menguasai jiwa mereka , dosa-dosa besar sudah menjadi perkara biasa, mulanya hanya naik motor bersama, kemudian tinggal bersama , apabila terlanjur berlakulah pula kes bunuh apabila bayi yang dilahirkan dibuang begitu sahaja tanpa perasaan belas kasihan.Yang demikian itu sifat mereka lebih teruk daripada haiwan. Oleh yang demikian masyarakat haruslah diberi pemahaman, bahawa perkahwinan adalah salah satu cara yang disyorkan oleh Islam untuk menangani penyakit masyarakat sekiranya mereka tidak mampu menahan nafsu mereka dengan berpuasa. Dan perkahwinan ini hendaklah dipermudahkan agar pasangan suami isteri boleh hidup bahagia selepas majlis perkahwinan. Sesuai dengan apa yang diperkatakan, iaitu Islam itu adalah mudah. Sebagai menarik usaha golongan muda-mudi untuk berkahwin beberapa insentif boleh dikemukakan antaranya ialah kemudahan untuk mendapat pekerjaan,kemudahan untuk mendapat rumah kos rendah, saguhati perkahwinan dan sebagainya. Pihak masjid, surau serta badan sukarela juga boleh menimbang sekiranya perlu untuk menganjurkan majls perkahwinan beramai-ramai untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya dapatlah kita ambil di sini,iaitu semua pihak bertanggungjawab untuk menangani penyakit masyarakat ini. Dari pemimpin negeri ke rakyat jelata, dari pegawai atasan hingga ke pekerja biasa, dari guru besar ke anak murid dan seterusnya.Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat. Karenah birokrasi dan perbedaan fahaman politik dan puak haruslah dielakkan dalam melancarkan Pelan Tindakan Bersepadu ini.